IDEA datang daripada pelbagai sumber. Daripada suasana, pengalaman, nasihat dan bacaan. Siapa sangka idea daripada pembacaan novel, seorang guru, Liza Bujang membuahkan hasrat mahu melakukan kerja amal di bulan Ramadan yang mulia ini.
Dia mahu penduduk setempat terutama remaja mengimarahkan masjid bersama-sama.
“Idea ini timbul daripada kisah di dalam novel Sejam RM2.50 karya Norhayati Berahim. Novel ini banyak membuat saya berfikir mengenai sumbangan yang harus saya lakukan untuk menyemarakkan program agama di kampung saya. Saya tidak mahu melihat anak remaja membuang masa melepak di luar rumah setiap malam Ramadan tanpa melakukan ibadah. Apa kata mereka turut mengimarahkan surau bersama penduduk dewasa,” katanya.
Justeru, Liza yang berkawan baik dengan novelis terbabit menyatakan hasratnya kepada penulis itu. Mereka lantas bersetuju dan bersama-sama menjadikan projek tadarus sebagai projek utama pada bulan Ramadan.
Menurut Liza, 44, tiada tempat lain yang lebih sesuai melainkan surau di kampungnya sendiri. Surau Darul Ikhlas, Ulu Semera (kira-kira 80 kilometer dari Kuching, Sarawak) ditubuhkan pada 1960. Dulu keadaan surau sangat daif, hanya berdinding papan dan kecil saja.
“Program tadarus ini disertai 20 kanak-kanak (berumur sembilan hingga 15 tahun ) dan 24 peserta dewasa. Ahli jawatankuasa (AJK) surau juga memantau dan menyertai tadarus bersama anak-anak ini.
“Kami disokong oleh rakan di laman sosial yang sentiasa bermurah hati untuk menderma bagi pembelian al-Quran dan rehal untuk peserta tadarus, sagu hati kepada peserta dan AJK surau, projek satu rumah satu al-Quran serta bantuan kepada surau yang beberapa kali dilanda banjir. Banjir ini menyebabkan surau kehilangan perabotnya,” katanya.
Program tadarus ini pertama kali diadakan secara rasmi. Sebelum ini ada dilakukan, tetapi penyertaan tidak memberangsangkan.
Bagi memberi warna baru dan kemeriahan kepada surau yang sentiasa menjadi mangsa banjir, Liza tentu saja mengharapkan bantuan insan yang prihatin.
“Namun, saya tidak menetapkan sasaran jumlah wang untuk dicapai kerana semuanya bergantung kepada derma yang dihulurkan. Syukur alhamdulillah kerana setakat ini rakan dan ahli keluarga kami turut membantu menghulurkan derma.
“Saya berharap misi untuk mengumpul dana bagi membeli al-Quran dan rehal untuk peserta, al-Quran untuk rumah di kampung Ulu Semera dan seumpamanya selain derma untuk surau dapat dilaksanakan dengan jayanya. Setakat ini, al-Quran dan rehal untuk peserta diserahkan pada 15 Julai lalu,” katanya.
Melihat projeknya berjalan lancar dan mendapat sambutan, Liza berasa sangat gembira.
“Amat bersyukur kerana Allah permudahkan segala urusan. Malah sokongan dan kerjasama ahli jawatan kuasa serta penduduk kampung Ulu Semera juga memberangsangkan,” katanya.
Seperti Liza, penduduk setempat juga gembira dan teruja. Manakan tidak seronok, setiap malam anak mereka meluangkan masa ke surau untuk solat Isyak dan Tarawih berjemaah, seterusnya bertadarus beramai-ramai.
“Harapan kami agar program ini berterusan setiap tahun. Apabila melihat kesungguhan kumpulan tadarus ini, ia akan menarik minat ramai anak-anak untuk menyertainya tahun hadapan, insya-Allah.
“Ia juga diharapkan menjadi lonjakan motivasi untuk ibu bapa mementingkan pelajaran al-Quran kepada anak-anak mereka.
“Mereka juga harus memulakannya terlebih dulu jika mahu anak-anak mencontohi teladan yang baik,” katanya. Hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan