Kebahagiaan
dalam hidup berkeluarga bukannya mudah. Ia memerlukan kerjasama semua
pihak. Organisasi kecil ini memerlukan pengurus yang baik bergelar
suami. Memerlukan pembantu pengurus yang cekap bergelar isteri. Ahli
organisasi juga perlu bekerjasama dan bekerja keras untuk merealisasikan
impian membentuk keluarga bahagia. Mahligai impian duniawi ini cuma
akan nampak indah dan sentiasa dihiasi bunga cinta yang segar mekar
apabila semua pihak yang bernaung di bawahnya memahami tanggungjawab dan
tugas masing-masing. Bergerak seia sekata dalam satu barisan dan
sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain.
Tunggak
utama mestilah ajaran agama dan reka bentuknya tidak boleh lari jauh
dari pelan kekeluargaan Rasulullah s.a.w. Ruang udaranya mestilah
sentiasa dibekalkan dengan cinta kasih dan belas kasihan.
Keluarga
juga umpama kapal. Ia tidak akan sentiasa berlayar di air tenang, malah
menjadi sunnahnya berhadapan dengan ombak dan taufan. Perjalanan masa
menjadikan ikatan cinta makin longgar dan suhu sayang juga semakin
sejuk. Punca utama ialah rasa jemu kerana bertemu orang yang sama
bertahun-tahun lamanya. Tidur sebantal dengan orang yang sama. Makan
sehidang dengan orang yang sama. Mungkin juga berpunca dari faktor usia.
Usia memakan kulit yang tegang menjadi kendur, rambut yang lebat
menjadi luruh dan beruban, muka yang cantik menjadi kusam berkedut.
Mungkin
cinta pada waktu ini sudah tidak mampu untuk terus bertahan menjadi
kemudi dan dayungnya. Ia memerlukan kekuatan kedua yang bernama ‘belas
kasihan’. Biar sedalam mana pun perasaan jemu, hodoh mana pun rupa
paras, lemah mana pun tenaga batin, bosan mana pun jiwa, belas kasihan
masih mampu membawa ahli keluarga ke titik terakhir matlamat cinta iaitu
syurga. Lantaran itu, Allah S.W.T. mengingatkan pasangan yang ingin
berumahtangga agar dari awal lagi menjadikan cinta sebagai mahar dan
belas kasihan sebagai hantaran.
Firman
Allah S.W.T: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia
menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu
cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu
rasa cinta dan belas kasihan.”
Kasihani
isteri yang telah lama berkorban jiwa dan raganya untuk mendampingi
anda. Ia telah menyerahkan hati dan jasadnya untuk ketenangan anda.
Sanggup bangun seawal pagi untuk menyediakan sarapan dan menggosok
pakaian. Pulang anda disambut dengan senyuman dan hidangan minuman
kegemaran. Malam pula ia sanggup bermesra dengan anda walaupun
fizikalnya sudah keletihan kerana banyaknya tugasan rumah yang perlu ia
selesaikan. Ia juga dengan jayanya mendidik anak-anak yang seharian anda
tinggalkan kerana kerjaya dan tugas mencari rezeki buat keluarga. Ia
juga sanggup mengadai nyawa untuk melahirkan anak-anak anda. Fikirkanlah
sebelum terfikir untuk mengeluarkan kalimah cerai.
Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Seorang mukmin tidak akan menceraikan isterinya yang
mukminah sekiranya ia membenci satu sifat dari sifat-sifatnya sedang
dalam masa yang sama ia redha dan mengingati kebaikan-kebaikannya yang
lain.”
Kasihani
suami yang sanggup mengambil anda sebagai isterinya. Mengorbankan usia
dan keringatnya untuk menyara keluarga. Mendamaikan jiwa ketika
kesedihan. Ingatlah kegirangan yang ia bawa dalam hidup anda. Ingatlah
bagaimana ia masih mampu tersenyum setiap kali ia pulang dari kerja
walaupun ia telah kehilangan sebahagian tenaganya di tempat kerja.
Ingatlah koceknya yang sering kosong kerana membeli keperluan anda dan
anak-anak. Ingatkan semua itu sebelum terlintas di fikiran untuk meminta
cerai.
Jika
kebaikan pasangan tidak mampu meleraikan kekusutan hubungan, ingatlah
pada anak-anak. Kalian mendambakan kehadiran mereka semenjak malam
pertama perkahwinan. Hari kelahiran mereka merupakan sejarah besar
keluarga yang membawa sejuta wangian kebahagiaan. Ia pelengkap kehidupan
anda. Kehadirannya menjadikan anda memiliki status manusia yang
sempurna. Anda sudah jadi individu, suami, bapa, isteri dan ibu.
Ingatlah pada anak-anak anda sebelum mana-mana pihak berfikir untuk
bercerai.
Perkahwinan
dan keluarga yang dibina tidak sepatutnya berakhir di kantor mahkamah
tetapi sewajibnya berkesudahan di kamar syurga. Allah S.W.T. menjanjikan
orang-orang yang beriman akan tinggal bersama dengan ahli keluarganya
di syurga. Firman Allah S.W.T.:
“Dan
orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka
dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami
tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia
terikat dengan apa yang dikerjakannya. Dan Kami beri mereka tambahan
dengan buah-buahan dan daging dari segala jenis yang mereka ingini. Di
dalam syurga mereka saling memperebutkan piala (gelas) yang isinya tidak
(menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tiada pula perbuatan
dosa. Dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani)
mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan. Dan sebahagian
mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling tanya-menanya.
Mereka berkata, “Sesungguhnya kami dahulu sewaktu berada di
tengah-tengah keluarga kami merasa takut (akan diazab)”. Maka Allah
memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka.
Sesungguhnya kami dahulu menyembah-Nya. Sesungguhnya Dia-lah yang
melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang.”
“Syurga
‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang
saleh dari bapak-bapaknya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang
malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;
(sambil mengucapkan): “Salam sejahtera atas mu kerana kesabaranmu”. Maka
alangkah baiknya tempat kesudahan itu.”
Imam
al-Qurtubi ketika memberi komentar tentang ayat 23 dalam Surah al-Ra’d
berkata, “Sesungguhnya antara nikmat di syurga itu nanti, ialah dengan
menghimpunkan ahli syurga dengan kerabatnya di dalam syurga”. Imam Ibnu
Kathir pula menyebut, “(Orang mukmin) akan dihimpunkan bersama
orang-orang yang ia sayangi termasuk ibu bapa, isteri-isteri dan
anak-anaknya andainya mereka itu layak memasuki syurga di kalangan
mereka yang beriman agar tenang perasaan mereka dengan kehadiran
keluarganya sehingga ia diangkat dari darjat bawahan di syurga ke darjat
paling atas sebagai anugerah dari Allah dan pemberian yang tidak
ternilai tanpa dikurangi sedikit pun”.
Kata
Said bin Jubair: “Apabila orang mukmin masuk syurga ia akan bertanya
tentang ibu bapanya, anak-anaknya, di manakah mereka? Lalu dikatakan
kepadanya, “Sesungguhnya mereka tidak mencapai tahapmu dalam melakukan
amal kebaikan”. Lalu ia berkata, “Sesungguhnya aku melakukan semua
amalan itu untukku dan mereka”. Lalu mereka pun digabungkan bersamanya
dalam syurga pada darjat yang serupa.”
Inilah
impian tertinggi orang mukmin dalam berkeluarga. Impian untuk hidup
sebumbung di syurga akhirat. Itulah hakikat cinta abadi bagi pasangan
yang menjadikan Allah S.W.T. sebagai pusat kecintaan dan Rasul-Nya
s.a.w. sebagai sumber ikutan mereka. Syurga yang menghimpunkan segala
kenikmatan yang tidak pernah terlintas pun di pemikiran manusia. Itulah
tempat tuju mereka. Bermula dari hari pertama perkahwinan, dikurniakan
zuriat dan melayari kehidupan berkeluarga yang penuh pancaroba,
kesudahan yang mereka harapkan ialah syurga dan nikmat syurga. Walaupun
mungkin di dunia mereka terlepas banyak peluang kebahagiaan dan
kesenangan.
Untuk
itu, apabila anda menziarahi pasangan yang baru melangsungkan
pernikahan mereka, jangan ucapkan “Selamat pengantin baru, moga kekal ke
anak cucu”, tidak juga ucapan, “Selamat pengantin baru moga kekal ke
akhir hayat”, tapi ucapkanlah “Selamat pengantin baru, moga kekal hingga
ke syurga”. Ucapan begitulah yang lebih bermakna.
Semoga
kebahagiaan dan kerukunan yang dikecapi dalam keluarga, berterusan
hingga ke akhirat. Tempat yang tiada lagi duka nestapa, tidak perlu lagi
merajuk dan memujuk, tiada penat dan lesu, tiada sedih dan sepi. Yang
ada cuma kebahagiaan yang kekal abadi. Allahumma Amin Ya Rabb al-Alamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan