Empat objektif utama syaitan ke atas manusia, iaitu:
- Menyesatkan manusia.
- Mengkafirkan manusia.
- Memusyrikkan manusia.
- Menjadikan manusia penghuni neraka.
Untuk mencapai objektif ini, syaitan memiliki pelbagai ciri dan kemampuan sebagaimana yang telah kita pelajari dalam Bab Ketiga.
Dalam bab ini pula kita akan mempelajari bagaimana syaitan menggunakan
ciri-ciri dan kemampuan tersebut ke atas umat Islam untuk mencapai
objektifnya.
Terdapat dua kaedah yang digunakan oleh syaitan untuk mencapai salah satu atau lebih dari empat objektifnya, iaitu:
Kaedah Pertama: Gangguan Secara Terus.
Kaedah ini lazimnya digunakan terhadap
orang yang lemah penghayatan agamanya atau yang mengabaikan agamanya.
Syaitan secara terus akan mengajaknya kepada kemungkaran yang jelas lagi
diketahui ramai seperti minum arak, berzina, berjudi dan sebagainya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan kaedah syaitan yang pertama ini:
Dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu
ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji,
dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.
[al-Baqarah 2:168-169]
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan;
dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan,
maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh
(pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar.
[al-Nur 24:21]
Kaedah Kedua: Gangguan Secara Tipu Daya.
Kaedah ini lazim ditujukan kepada orang
yang memiliki penghayatan agama atau berminat untuk meningkatkan
penghayatan agamanya. Bagi orang seperti ini, kaedah gangguan secara
terus jarang digunakan kerana mereka sudah mengetahui keharaman arak,
judi dan zina. Maka syaitan menggunakan kaedah tipu daya, iaitu
menggunakan pelbagai helah dan muslihat untuk menipu manusia sehingga
akhirnya tercapai objektifnya. Tipu daya ini sukar untuk dikesan, bahkan
orang yang mengalaminya merasai bahawa dia sedang berada di atas
hidayah dan kebenaran.
Insya-Allah dalam Bab Keempat ini
saya akan menyenaraikan tipu daya-tipu daya yang dimaksudkan, diikuti
dengan beberapa contoh bagaimana syaitan menjalankan setiap dari tipu
daya tersebut. Perkara penting yang perlu diingatkan di sini ialah cara
syaitan menjalankan tipu dayanya tidak terhad kepada contoh yang saya
beri. Para pembaca sekalian hendaklah bijak mengkaji dan menganalisa
untuk mengetahui cara-cara lain syaitan menggunakan sesuatu tipu
dayanya.
Tipu Daya # 1: Menakutkan Umat Islam.
Tipu daya yang pertama ini dapat kita pelajari dari ayat berikut:
Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan
yang menakut-nakutkan (kamu terhadap) penolong-penolongnya.
Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka,
tetapi takutlah kepada-Ku (Allah) jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[‘Ali Imran 3:175]
Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan
tipu daya syaitan yang menakut-nakutkan umat Islam daripada berhadapan
dengan musuh dalam Perang Uhud. Lalu Allah mengingatkan umat Islam agar
tidak takut kepada musuh, sebaliknya takutlah kepada-Nya.
Pengajaran penting dari ayat ini ialah
tipu daya syaitan untuk meresapkan perasaan takut ke dalam hati dan
fikiran manusia. Perasaan takut ini tidak terhad kepada menghadapi musuh
dalam peperangan, tetapi meluas kepada pelbagai urusan lain. Antaranya
ialah menuntut ilmu.
Syaitan mengetahui bahawa untuk mencapai
salah satu atau lebih dari empat objektifnya, ia perlu terlebih dahulu
menjauhkan umat Islam dari ilmu berkenaan agama mereka. Syaitan
mengetahui bahawa jika umat Islam menguasai ilmu agama, khususnya
al-Qur’an dan al-Sunnah, amatlah sukar baginya untuk menyesat,
mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam penghuni neraka. Oleh
kerana syaitan tidak dapat menghapuskan al-Qur’an dan al-Sunnah, ia
beralih kepada menjauhkan umat Islam dari al-Qur’an dan al-Sunnah.
Caranya? Lakukan tipu daya untuk
menakutkan umat Islam dari menghampiri al-Qur’an dan al-Sunnah. Takutkan
mereka dari menelaah al-Qur’an dan al-Sunnah. Takutkan mereka dari
mendengar atau membaca sesuatu sumber ilmu yang dipenuhi dengan
dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Untuk menakutkan umat Islam dari
ilmu agama, syaitan memiliki 3 bisikan yang amat masyhur:
Bisikan Pertama:
“Siapa menuntut ilmu tanpa guru maka dia menuntut ilmu dengan syaitan”.
Bisikan ini amat masyhur
sehingga ia berjaya menakutkan ramai umat Islam dari menuntut ilmu
tentang agama mereka. Bahkan ada yang menganggapnya sebagai sebuah
hadis.
Sebenarnya berguru
memang penting dalam Islam. Maksud berguru ialah seorang yang rendah
ilmunya menuntut daripada seorang yang lebih tinggi ilmunya. Cara atau
sarana berguru boleh berbeza-beza seperti pembacaan, menonton program di
TV, mendengar rakaman, berdialog di internet dan duduk berhadapan (face
to face). Oleh itu, sebagai contoh, jika seseorang sedang membaca buku
Imam al-Nawawi rahimahullah, bererti dia sedang berguru dengan beliau.
Akan tetapi syaitan
telah masuk campur merosakkan maksud berguru. Ia membataskannya kepada
berguru secara berhadapan sahaja (face to face). Syaitan mengetahui
bahawa dengan pembatasan ini, ramai umat Islam tidak akan dapat menuntut
ilmu. Ini kerana masing-masing sibuk dengan kuliah, kerja dan keluarga
sehingga sukar untuk duduk berhadapan dengan guru kecuali untuk beberapa
ketika. Selain itu sukar pula untuk mencari guru yang berilmu, amanah
dan jujur untuk berguru secara face to face dengannya. Maka setelah
melakukan pembatasan tersebut, syaitan menakutkan orang ramai bahawa
jika mereka menuntut ilmu tanpa guru, yakni tanpa face to face dengan
seorang guru, maka orang itu sedang menuntut ilmu dengannya.
Bisikan syaitan ini
dapat dilawan dengan penjelasan bahawa sesiapa yang menuntut ilmu dengan
apa jua cara, asalkan ikhlas demi memperbaiki agamanya, maka yang akan
menjadi gurunya bukan syaitan tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah
berjanji di dalam al-Qur’an:
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh
kerana memenuhi kehendak agama Kami,
sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami;
dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah
adalah berserta orang-orang yang berusaha
membaiki amalannya.
[al-Ankabut 29:69]
Bisikan Kedua:
“Anda perlu menguasai bahasa arab terlebih dahulu. Tidak boleh belajar agama tanpa bahasa arab.”
Melalui bisikan ini
syaitan sekali lagi dapat menakutkan orang ramai dari menuntut ilmu
agama. Melalui bisikan ini ramai yang menggunakan masa dan tenaga yang
dia miliki untuk belajar bahasa Arab. Bertahun-tahun belajar tetapi yang
diketahui hanya sekadar “Aina anta?”
Sebenarnya pada masa
kini, penguasaan bahasa Arab tidak perlu menjadi prioriti untuk menuntut
ilmu agama. Ini kerana sudah terdapat banyak buku-buku bahasa Arab yang
sudah diterjemah ke bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris. Selain itu
terdapat juga buku-buku dalam bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris
yang dikarang oleh penulis yang menguasai bahasa Arab dengan baik. Buku
ini mewakili pelbagai subjek seperti aqidah, tafsir, hadis, fiqh, akhlak
dan lain-lain. Semua ini memudahkan kita menuntut ilmu agama tanpa
perlu menguasai bahasa Arab.
Dalam konteks ini, orang-orang yang ingin menuntut ilmu agama boleh dibahagikan kepada dua kumpulan:
-
Mereka yang memberi
tumpuan kepada mempelajari bahasa Arab. Kumpulan ini lazimnya mengambil
masa beberapa tahun belajar bahasa Arab dengan hajat ingin dapat membaca
kitab-kitab klasik[1]
seperti Tafsir al-Qurtubi dan Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi. Setelah
beberapa tahun, segelintir di antara mereka ada yang berjaya. Namun
kebanyakan yang lain gagal. Dalam masa beberapa tahun tersebut, mereka
masih jahil tentang agama dan jahil juga tentang bahasa Arab. Akhirnya
mereka kecewa dan putus asa dari ingin menuntut ilmu agama.
-
Mereka yang memberi
tumpuan kepada mempelajari ilmu-ilmu agama dari sumber bahasa yang
mereka fahami. Dalam masa beberapa tahun, kumpulan ini sudah menguasai
aqidah yang tulen, fiqh perbandingan antara empat mazhab dan akhlak yang
selari dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka juga
menguasai ilmu tafsir, hadis, fiqh dan lain-lain. Setelah itu mereka
mula memberi tumpuan kepada mempelajari bahasa Arab.
Ini kerana pada tahap
awal proses menuntut ilmu, bahasa Arab tidak penting. Akan tetapi pada
tahap seterusnya, bahasa Arab menjadi penting untuk mereka melanjutkan
kajian kepada sumber-sumber yang belum diterjemahkan. Bahasa Arab juga
menjadi penting dalam rangka menjawab orang-orang yang kononnya ahli
dalam bahasa Arab tetapi sengaja mengubah terjemahan ayat al-Qur’an,
hadis atau perkataan ulama’ silam dalam kuliah atau tulisan mereka demi
membenarkan pandangan mereka yang menyesatkan.
Oleh kerana kumpulan ini
sudah memiliki penguasaan dalam sesuatu subjek, mudah untuk mereka
menelaah subjek tersebut dari sebuah kitab berbahasa Arab. Sebagai
contoh, sebuah kitab fiqh klasik dalam bahasa Arab akan mudah ditelaah
oleh orang yang mahir dalam subjek fiqh sekali pun dia belum mahir dalam
bahasa Arab. Berbeza dengan orang yang mahir dalam bahasa Arab tetapi
lemah dalam subjek fiqh, dia akan mengalami kesukaran untuk menelaahnya.
Ringkasnya, menguasai
bahasa Arab tidak menjanjikan penguasaan dalam ilmu-ilmu agama, apatah
lagi penghayatannya. Syaitan telah berjaya menakut-nakutkan umat Islam
dari menuntut ilmu-ilmu agama dengan meletakkan syarat penguasaan bahasa
Arab terlebih dahulu. Lawanlah tipu daya syaitan ini dengan menuntut
ilmu-ilmu agama dalam apa jua bahasa. Prioriti anda ialah aqidah dan
asas-asas agama seperti ilmu berkenaan al-Qur’an dan al-Sunnah.
Seterusnya ia diikuti dengan ibadah dan akhlak. Kemudian apabila anda
memiliki masa dan tenaga yang lebih, berilah tumpuan kepada bahasa Arab.
Bisikan Ketiga:
“Saya takut hendak membaca dari sumber terjemahan kerana mungkin terdapat kesilapan terjemahan.”
Tidak ada buku yang sempurna dari
kesilapan melainkan al-Qur’an. Selain al-Qur’an, kemungkinan wujudnya
kesilapan memang ada. Demikian juga bagi buku-buku yang diterjemah dari
bahasa Arab ke bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris. Kemungkinan
kesilapan memang ada. Akan tetapi kemungkinan tersebut amatlah kecil.
Berdasarkan pengalaman saya membaca kitab terjemahan dan
membandingkannya dengan kitab asal berbahasa Arab, berani saya katakan
bahawa kemungkinan tersebut hanya sekadar 2 hingga 3 peratus. Hanya
syaitan yang membesar-besarkannya kepada 20 hingga 30 peratus.
Lebih dari itu, kesilapan yang berlaku
di sisi penterjemah boleh juga berlaku di sisi penterjemah yang lain.
Jika anda menguasai bahasa Arab, anda juga akan membuat kesilapan ketika
membaca sesebuah kitab, khasnya kitab klasik yang ditulis pada zaman
awal dan pertengahan Islam.
Oleh itu lawanlah bisikan syaitan ini
dengan cara menelaah sesebuah buku terjemahan dengan teliti. Jika
menemui sebuah kenyataan yang memusykilkan, bertanyalah kepada orang
yang mahir dalam subjek tersebut. Insya-Allah dia akan dapat menerangkan sama ada itu satu kesilapan terjemahan atau kemusykilan yang sebenarnya satu kebenaran.
Demikian tiga contoh bisikan syaitan
yang masyhur dalam rangka menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu
agama. Sungguh, apabila iblis berjanji di hadapan Allah: “Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat, tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya (manusia), kecuali sedikit (di antaranya).”
[al-Isra’ 17:62], ia tidak sangka bahawa amatlah mudah untuk
melaksanakan janjinya itu. Buktinya dapat dilihat pada masa kini dimana
majoriti dari umat Islam amat takut untuk belajar berkenaan agama
mereka. Sekali pun sebahagian dari mereka memiliki kelulusan pendidikan
yang amat tinggi, mereka amat takut untuk belajar tentang Islam. Mereka
mencukupkan diri dengan apa yang dipelajari di bangku sekolah.
Apabila umat Islam tetap berada dalam
keadaan jahil, mudah bagi syaitan untuk mencapai objektifnya menyesat,
mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam penghuni neraka. Atas
tipu daya syaitan ini, kita akan temui kebanyakan orang yang memiliki
penghayatan agama melaksanakan penghayatan tersebut hanya dengan
mengikuti orang-orang sebelum mereka atau kumpulan tertentu. Amat
sedikit yang menghayati agama berdasarkan kefahaman yang jitu berkenaan
al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih serta teladan generasi al-Salaf al-Shalih.
Bahkan tanpa ilmu agama yang sahih,
iaitu ilmu yang berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah, mudah untuk syaitan
mencapai objektifnya itu dengan melakukan tipu daya memperindahkan
sesuatu yang sebenarnya mungkar. Tipu helah ini akan kita kaji
seterusnya insya-Allah.
Maka kepada para pembaca sekalian, jika
terlintas di hati anda perasaan takut untuk menuntut ilmu, ketahui
bahawa itu adalah lintasan dari syaitan. Ucaplah “A’uzubillahi minas syaitan nirrajim” dan terus memberanikan diri anda untuk menuntut ilmu.[2]
Selain menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu, syaitan juga menakutkan umat Islam dengan cara-cara berikut:
Ø Menakutkan dari menyampaikan ilmu
yang hak. Bagi orang yang berilmu, syaitan menakutkan mereka dari
menyampaikan kebenaran. Konon, jika dia menyampaikan kebenaran, dia akan
kehilangan kerja atau akan disisih oleh masyarakat.
Ø Menakutkan dari bersedekah. Bagi
yang ingin bersedekah, syaitan berbisik bahawa sedekah itu hanya akan
merugikan dia atau orang yang dia sedekahkan itu akan mensia-siakan
sedekah tersebut.
Ø Menakutkan dari bersikap jujur.
Syaitan banyak mengganggu dengan ketakutan ini. Syaitan menghasut, konon
martabat dan harga diri seseorang akan jatuh jika dia bersikap jujur
untuk meminta maaf atas sesuatu kesilapannya atau berkata “Saya tidak
boleh melakukannya” untuk sesuatu permintaan.
Oleh kerana itu dua frasa yang paling
sukar untuk disebut ialah “Maaf, saya silap” dan “Saya tidak boleh”.
Semakin tinggi kedudukan atau kemasyhuran seseorang, semakin sukar untuk
dia menyebut dua frasa tersebut. Ramai memilih untuk bersikap diam atau
membuat alasan-alasan yang lain, padahal sikap seperti itulah yang
sebenarnya menjatuhkan martabatnya dan memurahkan harga dirinya.
Tipu Daya # 2: Memperindahkan Perkara Mungkar.
Apabila syaitan diusir dari langit, ia berjanji:
Iblis berkata:
“Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat,
(maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan
(segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini,
dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
[al-Hijr 15:39]
Tipu daya ini telah dilaksanakan oleh syaitan kepada setiap generasi umat manusia dari awal:
Demi Allah! Sesungguhnya kami juga telah mengutus Rasul-rasul
kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (wahai Muhammad),
lalu syaitan memperindahkan pada (pandangan) mereka
akan amal-amal mereka (yang sebenarnya mungkar);
maka Dia-lah menjadi pemimpin mereka pada hari ini (Hari Kiamat)
dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[al-Nahl 16:63]
Maksud memper-indahkan perkara mungkar
ialah memberi pengaruh palsu kepada umat Islam bahawa apa yang sedang
mereka lakukan adalah amal shalih yang baik lagi sesuai dengan Islam.
Akan tetapi yang benar apa yang sedang dilakukan itu adalah amal mungkar
yang buruk lagi bertentangan dengan Islam. Amatlah mudah bagi syaitan
untuk memperindahkan sesuatu yang sebenarnya mungkar kerana sejak awal
ia telah berjaya menakutkan umat Islam dari menuntut ilmu (Tipu Daya #
1). Tanpa ilmu, umat Islam tidak dapat mengukur baik atau buruk sesuatu
perkara berdasarkan ukuran al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Terdapat beberapa cara syaitan
memperindahkan perkara mungkar. Antaranya ialah dengan memberi nama-nama
yang indah kepada sesuatu yang sebenarnya haram. Ini dapat kita
pelajari dari pengalaman Nabi Adam ‘alaihi salam. Ketika Adam berada dalam syurga, Allah Subhanahu wa Ta’ala berpesan kepadanya, bahawa dia boleh memakan apa jua yang dia sukai kecuali satu jenis pohon (pokok):
Dan kami berfirman:
“Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga,
dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai,
dan janganlah kamu hampiri pohon ini;
(jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu
dari golongan orang-orang yang zalim.”
[al-Baqarah 2:35]
Syaitan ingin mengeluarkan Adam dari
syurga. Bagaimana caranya? Ahaa! Tukar nama pohon yang “dilarang” kepada
nama yang lebih indah, seperti pohon yang “memberi kehidupan dan
kekuasaan yang kekal abadi”. Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan tipu daya syaitan ini:
Setelah itu maka syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata:
“Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu
pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya,
dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”
[Ta-Ha 20:120]
Tipu daya syaitan dalam memperindahkan
perkara mungkar tidak terhad kepada menukar nama. Pada kesempatan ini
saya ingin berikan dua contoh amalan yang lazim dilakukan oleh
masyarakat yang telah diperindahkan oleh syaitan.
Contoh Pertama: Zikir Berirama.
Pada masa kini terdapat satu amalan yang semakin meningkat kemasyhurannya, iaitu zikir dengan suara yang kuat (jahr)
secara beramai-ramai dengan mengikuti irama atau rentak tertentu. Zikir
berirama sebenarnya sudah wujud pada zaman pertengahan Islam. Akan
tetapi pada masa kini dengan adanya teknologi moden seperti mikrofon,
alat pembesar suara, kaset, cakera padat dan sebagainya, zikir berirama
pantas mendapat tempat di hati orang ramai.
Apabila ditanya, kenapa kalian suka
kepada zikir berirama? Mereka menjawab bahawa zikir berirama
menghasilkan banyak kebaikan seperti hati yang khusyuk dan jiwa yang
terasa seolah-olah diberi suntikan hidup yang baru (revitalized and recharged).
Sebahagian lain menjawab, keindahannya tidak dapat digambarkan dengan
perkataan. Kemudian mereka mengemukakan ayat berikut sebagai hujah:
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.
Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.
[al-Ra’d 13:28]
Sebenarnya yang mengindahkan zikir
berirama ialah syaitan. Syaitan mengindahkannya agar dengan itu umat
Islam terhindar dari zikir yang sebenarnya disyari‘atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, iaitu:
Dan sebutlah serta ingatlah (zikir) akan Tuhanmu dalam hatimu
dengan merendah diri serta dengan perasaan takut,
dan dengan tidak pula menguatkan suara (jahr) pada waktu pagi dan petang,
dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.
[al-A’raaf 7:205]
Berdasarkan ayat di atas, dapat diketahui bahawa zikir yang dihendaki oleh Yang kita tujukan zikir (Allah) ialah:[3]
- Ingatan dalam hati.
- Sikap merendahkan diri kerana mengingati kebesaran Yang sedang ditujukan zikir.
- Sikap takut kepada Yang sedang ditujukan zikir.
- Secara sirr dan bukan jahr. Sirr ialah
menyebut bacaan zikir dengan lidah dan bibir sehingga bacaan dapat
didengar oleh orang yang sedang berzikir dan orang di sebelahnya. Jahr
ialah menyebut bacaan zikir dengan getaran kotak suara di kerongkong
sehingga suaranya dapat didengar oleh orang ramai di sekeliling.
Apabila seseorang itu berzikir dengan
cara, kalimah dan jumlah yang dikehendaki oleh Allah, maka Allah akan
mengurniakan ketenteram hati seperti yang dijanjikan-Nya dalam ayat 28
surah al-Ra’d. Ada pun bagi cara, kalimah dan jumlah yang berbeza dari
yang dikehendaki oleh Allah, maka yang mengurniakan ketenteraman hati
bukanlah Allah tetapi syaitan.
Contoh Kedua: Memagar Rumah.
Zukfikli beberapa kali menjengok keluar
dari pintu rumahnya. Sudah hampir 15 minit dia duduk di kerusi malas
yang diletakkannya di hadapan pintu. “Bila jamaah masjid nak sampai?
Harap tuk imam tidak ada urusan lain. Harap dia dapat datang seperti
yang dijanjikan” Demikian bisik hati Zulkifli dengan penuh debaran.
Jam di dinding menunjukkan waktu 7.22
malam. Pada malam itu, selepas solat Maghrib, Zulkifli merancang membuat
kenduri doa selamat dan majlis memagarkan rumah. Sejak beberapa minggu
yang lepas, terasa seolah-olah ada sesuatu yang asing di rumah. Pintu
dan tingkap bergerak sendiri padahal tiada angin yang bertiup. Sekali
sekala di tepi anak mata ternampak seolah-olah ada bayangan yang
bergerak. Namun apabila ditoleh, ternyata tiada apa-apa.
Jiran-jiran dan rakan-rakan di pejabat
mencadangkan agar Zulkifli memagar rumahnya. Kata mereka, ada makhluk
ghaib yang keluar masuk dan turut menumpang di rumahnya. Atas cadangan
itu, Zulkifli menjemput imam masjid dan para jamaahnya untuk membuat
kenduri doa selamat dan majlis memagar rumah.
Nasi minyak, ayam masak merah, kuah
dalca dan acar buah telah siap disediakan. Akan tetapi di antara semua
persediaan tersebut yang terpenting ialah 2 botol air mineral yang
disediakan atas permintaan imam. Air-air tersebut akan dijampi, kemudian
dituang di sekeliling rumah. Kata imam, air tersebut akan bertindak
sebagai pagar ghaib yang memagar rumah dari makhluk ghaib. Zulkifli
tidak tahu bacaan apa yang bakal dijampikan. Akan tetapi dia yakin, tuk
imam tahu apa yang patut dibacakan.
“Samaikuuum!” Kedengaran bunyi salam di
pintu pagar. “Waikumsalaaam” jawab Zulkifli, penuh kelegaan. “Jemputlah
masuk” sambung Zulkifli setelah melihat tuk imam dan beberapa orang
jamaah masjid sedang berdiri di pintu pagarnya.
Amalan memagar rumah adalah sesuatu yang
masyhur di Malaysia. Orang memagar rumah kerana ingin melindunginya
dari gangguan makhluk ghaib atau kerana menyangka makhluk sedang
mengganggu rumahnya. Di sebalik semua itu, yang sebenarnya mengganggu
ialah syaitan. Untuk sebahagian orang, ia mengganggu dengan membisikkan
perasaan takut kepada makhluk ghaib (Tipu Daya # 1) agar dengan itu
orang tersebut akan berusaha memagar rumahnya. Untuk sebahagian yang
lain, ia mengganggu dengan mengerak-gerakkan pintu dan tingkap, membuat
suara aneh, memberi mimpi buruk, merasuk dan pelbagai lagi. Semua ini
dengan tujuan agar penghuni rumah berusaha untuk memagar rumah.
Kenapa amalan memagar rumah menjadi penting kepada syaitan? Kepentingannya dapat dijelaskan dengan langkah-langkah berikut:
- Syaitan tahu dengan memagar rumah,
penghuninya akan meletakkan keyakinan kepada alat yang dianggap sebagai
pagar. Alat itu mungkin air jampi, tongkat, penyapu lidi dan sebagainya.
Maka untuk menghasut penghuni rumah memagar rumahnya, syaitan
mengganggu mereka dengan bisikan ketakutan atau perbuatan yang aneh di
rumah.
- Setelah alat tersebut dijampi dan
penghuni rumah meletakkannya pada tempat yang sepatutnya, syaitan serta
merta menghentikan gangguannya.
- Dengan terhentinya gangguan, penghuni rumah akan segera berkeyakinan bahawa “pagar”nya telah berjaya menghalau makhluk ghaib.
- Dengan keyakinan kepada sesuatu selain Allah untuk memelihara rumahnya dari mudarat, penghuni rumah telah syirik kepada Allah.
- Akhirnya tercapailah hajat syaitan
untuk memusyrikkan umat Islam. Syaitan mengindahkan amalan memagar rumah
padahal amalan tersebut sebenarnya adalah satu kemungkaran.[4]
Sebenarnya Islam telah pun mengajar
amalan memagar rumah yang bersih dari unsur syirik. Ia amat mudah dan
boleh dilakukan dengan sendiri. Caranya, ucaplah Basmalah (Bismillah) setiap kali hendak memasuki rumah. Tutuplah pintu dan tingkap dengan membaca Basmalah juga. Hadis-hadisnya boleh dirujuk dalam Bab Ketiga, ketika mengupas ciri syaitan # 12.
Kemudian hendaklah para
penghuni rumah beristiqamah dengan perintah larangan agama. Kaedah yang
mudah dalam persoalan ini ialah: “Jika kita takut kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala,
maka syaitan akan takut dari mengganggu kita. Sebaliknya jika kita
tidak takut kepada Allah, maka syaitan juga tidak akan takut dari
mengganggu kita.” Oleh itu jika penghuni rumah tidak takut kepada Allah
sehingga berani mengabaikan perintah larangan Allah, syaitan juga akan
berani mengganggunya. Sebagai contoh, bagi kes Zulkifli di atas,
hendaklah dia tidak duduk di rumah menunggu jamaah masjid sampai.
Sebaliknya hendaklah dia ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib
berjamaah.
Tipu Daya # 3: Mempelbagai Jalan Kebenaran.
Di samping berjanji untuk memperindahkan perkara mungkar, syaitan juga berjanji untuk menghalang umat Islam dari jalan Allah (Shirat al-Mustaqim).
Seterusnya ia akan membuat banyak jalan yang lain dan memperindahkannya
sehingga umat Islam menganggap jalan-jalan tersebut adalah Shirat al-Mustaqim padahal ia bukan. Allah Subhanahu wa Ta’ala merakam perjanjian syaitan ini:
Iblis berkata:
“Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan)
menjadikan daku sesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat
menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus (Shirat al-Mustaqim).
Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka,
dari kanan mereka serta dari kiri mereka;
dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”
[al-A’raaf 7:16-17]
Perjanjian, atau lebih tepat, tipu daya
syaitan ini benar-benar telah dilaksanakannya sejak dari zaman awal
Islam sehinggalah pada masa kini. Syaitan menghalang umat Islam dari
jalan Allah yang tulen lagi benar. Kemudian ia membuat banyak
jalan-jalan yang baru. Dalam ayat di atas, syaitan menyebut bahawa ia
akan datang dari hadapan, belakang, kanan dan kiri. Empat arah ini bukan
bererti empat jalan, tetapi bererti kepelbagaian jalan yang
dibukakannya. Ini umpama seorang yang berkata: “Musuh datang menyerangku
dari hadapan, belakang, kanan dan kiri.” Kenyataan ini tidak bererti
ada empat orang musuh, tetapi bererti ada banyak musuh yang datang dari
semua sudut.
Tipu daya # 3 ini dilaksanakan syaitan
bersama tipu daya # 1 dan 2. Pertama sekali, syaitan menakutkan umat
Islam dari menuntut ilmu. Tanpa ilmu, umat Islam tidak tahu yang benar Shirat al-Mustaqim dan
yang mana tidak. Kemudian syaitan membuka beberapa jalan yang baru.
Walaubagaimana pun syaitan tahu bahawa jalan yang baru tidak cukup untuk
menarik umat Islam kepadanya. Perlu diletak sesuatu umpan di atasnya.
Maka syaitan mengambil satu atau dua ajaran yang berasal dari Shirat al-Mustaqim dan meletakkannya di atas jalan baru tersebut sebagai umpan.
Bagi setiap jalan, syaitan meletakkan
umpan yang berbeza-beza. Kemudian syaitan memperindahkan umpan tersebut,
konon ia adalah ajaran yang paling penting dalam Islam. “Memadai
memberi tumpuan kepada ajaran tersebut, nescaya lengkaplah Islam anda!”
demikian bisik syaitan di depan pintu masuk bagi setiap jalan. Kemudian
bagi setiap jalan ada syaitan dipertengahannya yang berbisik: “Hendaklah
kalian bersungguh-sungguh melaksanakan ajaran tersebut!” Maka orang
yang berada di atas jalan-jalan tersebut menokok tambah ajaran itu
sehingga ia akhirnya jauh berbeza dari apa yang asalnya diambil dari Shirat al-Mustaqim.
Kini setiap jalan sudah memiliki ajaran
yang membentuk dasarnya yang tersendiri. Akhir sekali, syaitan
memberikan nama-nama indah bagi setiap jalan untuk menarik lebih ramai
orang ke atasnya. Nama-nama itu ialah apa yang biasa kita temui pada
aliran-aliran yang wujud pada masa kini di dunia Islam. Berikut
dikemukakan beberapa aliran yang masyhur diikuti dengan umpannya:
- Aliran Tareqat. Umpannya ialah zikir dan kebersihan hati.
- Aliran Dakwah. Umpannya ialah keluar sekian-sekian hari untuk berdakwah.
- Aliran Kepartian. Umpannya ialah menegakkan politik Islam dan kepimpinan negara.
- Aliran Liberal. Umpannya ialah membuka ajaran Islam agar sesuai dengan zaman.
- Aliran Khalifah. Umpannya ialah menegakkan khalifah umat Islam.
- Aliran Syi‘ah. Umpannya ialah mengangkat Ahl al-Bait menjadi khalifah umat Islam.
- Aliran Falsafah. Umpannya ialah ayat-ayat al-Qur’an yang menyuruh umat Islam berfikir.
Demikian beberapa contoh jalan-jalan
yang dibuka oleh syaitan sehingga akhirnya muncullah di atas jalan-jalan
tersebut aliran-aliran yang memiliki ajaran dasarnya yang tersendiri.
Setiap orang akan menganggap jalan merekalah yang paling benar, paling
baik hingga akhirnya berlakulah permusuhan, tuduh-menuduh dan sangkaan
buruk antara satu sama lain. Padahal mereka semuanya adalah umat Islam.
Semua ini adalah hasil tipu daya syaitan jua:
Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman),
supaya mereka berkata dengan ucapan-ucapan yang amat baik;
sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka;
sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.
[al-Isra’ 17:53]
Orang-orang yang berada di atas jalan-jalan tersebut benar-benar menganggap mereka sedang mendapat hidayah dan berada di atas Shirat al-Mustaqim padahal mereka berada di atas jalan dan hidayah syaitan:
Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar,
sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah.
[al-Zukhruf 43:37]
Hanya satu jalan yang betul, iaitu jalan Shirat al-Mustaqim yang dibuka oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Rasul-Nya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Orang-orang yang berada di atas jalan ini dikenali sebagai Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.[5]Inilah satu-satunya jalan yang benar yang Allah perintah kita untuk berada di atasnya:
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus,
maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain)
kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah,
Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
[al-An’aam 6:153]
Inilah juga jalan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, sesiapa
yang memilih jalan lain sehingga berpecah menjadi puak-puak atau
jamaah-jamaah, masing-masing puak atau jamaah dengan jalan yang
tersendiri, maka Rasulullah berlepas diri dari mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka
dan mereka menjadi berpuak-puak,
tiadalah engkau (Wahai Muhammad) terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka.
Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah.
Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada Hari Kiamat kelak),
apa yang telah mereka lakukan.
[al-An’aam 6:159]
Sebelum beralih ke tipu daya seterusnya,
ingin saya tegaskan semula apa yang telah saya sebut di bahagian Kata
Pembuka, bahawa tujuan saya menyebut aliran-aliran di atas bukanlah
untuk mencela para pengikutnya, tetapi untuk menyedarkan bahawa apa yang
dipegang selama ini perlu dianalisa semula.
Jika di kalangan pembaca ada yang
mengikuti salah satu dari tujuh aliran yang saya sentuh di atas, saya
harap anda dapat bersikap adil dalam menganalisa aliran yang anda ikuti.
Hayatilah ayat 153 serta 159 surah al-An’aam dan bandingkanlah dengan
ayat 16-17 surah al-A’raaf. Kemudian renungilah ayat 37 surah
al-Zukhruf. Cuba tanya diri anda dengan jujur: “Adakah saya akan
mengikut aliran saya sekarang ini jika sejak awal saya telah mengetahui
tipu daya syaitan # 3 ini?”
Tipu Daya # 4: Janji Dan Angan-Angan Kosong.
Allah Subhanahu wa Ta’ala membongkar tipu daya syaitan yang keempat ini dalam firman-Nya:
Syaitan sentiasa menjanjikan mereka serta memperdayakan mereka
dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh syaitan itu
tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.
[al-Nisa’ 4:120]
Cara syaitan melaksanakan tipu daya ini
berkait rapat dengan tipu daya # 3 yang telah dipelajari sebelum ini.
Seperti yang dijelaskan, setelah membuka jalan-jalan yang baru, syaitan
meletak umpan di setiap pintunya dan menjemput umat Islam memasuki jalan
tersebut kerana umpannya. Kemudian bagi setiap jalan, ada syaitan di
pertengahannya yang berbisik agar umpan tersebut ditokok tambah sehingga
jauh berbeza dari asalnya.
Akhir sekali, bagi setiap jalan ada
syaitan di hujungnya. Syaitan ini kerjanya menabur janji kejayaan dan
angan-angan kemenangan bagi orang-orang yang berada di atas setiap
jalan. Bagi orang yang mengikuti jalan atau aliran tareqat,
syaitan memberi janji dan angan-angan kosong jika mereka berzikir dengan
jumlah sekian-sekian bagi setiap malam, kedudukan mereka akan naik dari
awam kepada khusus. Bagi orang yang mengikut jalan atau aliran kepartian,
syaitan memberi janji dan angan-angan kosong jika mereka terus memberi
tumpuan kepada persoalan politik, status negara Islam akan dapat
dicapai. Demikianlah seterusnya bagi setiap jalan atau aliran, syaitan
menabur janji dan angan-angan kosong agar dengan itu umat Islam tetap
setia kepada aliran masing-masing.
Tipu daya janji dan angan-angan kosong juga ditabur ke atas individu. Antaranya:
- Bagi orang yang banyak berbuat maksiat,
syaitan menabur angan-angan agar tidak perlu bertaubat serta merta,
sebaliknya tunggulah dulu hingga apabila mencapai umur persaraan.
- Bagi orang yang sedang menuntut ilmu,
syaitan menabur angan-angan bahawa apabila dia mencapai kelulusan PhD.,
maka dia telah mencapai kemuncak ilmunya.
- Bagi orang yang bersolat lima kali
sehari, syaitan menabur janji bahawa amalan itu sudah mencukupi, tidak
perlu ditambah dengan amalan-amalan yang lain.
- Bagi orang yang ingin membanteras
bid‘ah, syaitan menabur janji bahawa jika dia bersikap keras, nescaya
semua bid‘ah akan berjaya dihapuskan.
- Bagi orang yang ingin menegakkan
sunnah, syaitan menabur janji bahawa jika dia bergerak pantas, sunnah
akan dapat ditegakkan dengan sekelip mata.
Tipu Daya # 5: Mengubah Ciptaan Allah.
Tipu daya kelima ini dinyatakan sendiri oleh syaitan:
“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran),
dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka
dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya
aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak)
lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu;
dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka
mengubah ciptaan Allah.”
[al-Nisa’ 4:119]
Dalam kenyataan di atas, syaitan berjanji akan melakukan beberapa perkara kepada umat Islam, iaitu:
- Menyesatkan umat Islam dari jalan Allah. Ini telah kita pelajari dalam Tipu Daya # 3.
- Menabur angan-angan kosong. Ini telah kita pelajari dalam Tipu Daya # 4.
- Membelah telinga binatang. Ini adalah
amalan masyarakat jahiliyah dimana mereka membelah telinga binatang
sebagai tanda binatang tersebut adalah istimewa dan dapat dijadikan
sembahan atau korban kepada tuhan berhala mereka.
- Mengubah ciptaan Allah. Perkara keempat inilah yang menjadi tumpuan kita.
Wujud perbincangan di kalangan para
ilmuan Islam, apakah yang dimaksudkan dengan “mengubah ciptaan Allah”.
Di antara mereka ada yang berkata, ia adalah mengubah anggota badan
seperti mencacatkannya atau menokok tambah kecantikan. Di antara mereka
ada yang berkata, ia adalah mengubah agama Allah, iaitu Islam. Pendapat
kedua adalah lebih kuat berdasarkan rujukan kepada ayat berikut:
Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan:
agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia
(dengan keadaan bersedia dari semulajadi – fitrah) untuk menerimanya.
Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu;
itulah agama yang betul lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[al-Rum 30:30]
Maksud mengubah ciptaan Allah ialah
mengubah agama Islam. Mengubah agama Islam bererti menambah, mengurang
dan mengusuai dari yang tulen. Inilah juga yang disebut sebagai bid‘ah.
Satu contoh mudah, agama Islam yang tulen mengajar bahawa doa sebelum makan hanya dengan membaca Basmalah (Bismillahi Rahmani Rahim). Ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah dikemukakan sebelum ini: “Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, berkatalah syaitan (kepada golongannya): “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam.”[6]
Akan tetapi syaitan telah mengubah amalan ini kepada membaca doa yang berbeza. Sekali pun seseorang itu membaca Basmalah,
syaitan menghasutnya untuk menambah dengan doa-doa yang lain. Ini
adalah satu bid‘ah dan inilah perubahan agama yang diinginkan oleh
syaitan. Mungkin di kalangan pembaca ada yang tertanya:
“Bukankah
membaca doa tambahan sebelum makan adalah satu kebaikan?” Pertanyaan ini
dijawab, bahawa kebaikan yang sebenar berasal dari Allah dan Rasul-Nya.
Ada pun selain itu yang dianggap kebaikan, ia tidak lain adalah tipu
daya syaitan yang memperindahkan perkara mungkar (Tipu Daya # 2).[7
Sebagai tambahan, dalam ayat 119 surah
al-Nisa’ di atas, syaitan bukan sahaja akan menyuruh umat Islam membuat
bid‘ah agama tetapi bersumpah bahawa ia benar-benar akan mengerah dan
memastikan umat Islam membuat bid‘ah. Perhatikan semula kata-kata
syaitan ini yang didahului dengan sumpah: “…dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.”
Atas sumpah inilah kelihatannya syaitan
berjaya menghasut sebegitu ramai umat Islam untuk membuat bid‘ah. Tidak
sekadar itu, syaitan juga memastikan agar mereka yang membuat bid‘ah
kekal dengan bid‘ah tersebut. Oleh kerana itulah apabila cuba ditegur
orang yang membuat bid‘ah, teguran itu tidak lain hanya akan menyebabkan
orang tersebut lebih bersungguh-sungguh dalam bid‘ahnya. Kecuali
segelintir yang ikhlas beragama, mereka mengetahui bahawa bid‘ah adalah
tipu daya syaitan. Maka mereka segera meninggalkan bid‘ah tersebut dan
kembali kepada Islam yang tulen, yang belum mengalami perubahan.[8]
Tipu Daya # 6: Menjadi Jurucakap Allah.
Dalam ayat 169 surah al-Baqarah, Allah Subhanahu wa Ta’ala mengingatkan:
Ia (syaitan) hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji,
dan (menyuruh) supaya kamu berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.
[al-Baqarah 2:169]
Apakah yang dimaksudkan dengan “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui”? Mudahnya, ia seumpama menjadi jurucakap Allah. Syaitan akan menghasut seseorang itu untuk menjadi jurucakap Allah (spokesman anad spokeswomen for god), iaitu bercakap tentang Allah dan Islam tanpa ilmu pengetahuan. Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui” merujuk
kepada orang-orang jahiliyah dan kafir musyrik yang mendakwa Allah
memiliki anak, malaikat ialah anak perempuan Allah dan berhala-berhala
mereka ialah wakil Allah di muka bumi. Maha Suci Allah dari semua
dakwaan itu.
Ada pun pada masa kini, “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui”berlaku dalam beberapa bentuk. Berikut dikemukakan tiga contoh:
Contoh Pertama: Mengulas Sebab Di Sebalik Sesuatu Tragedi.
Apabila berlaku sesuatu tragedi alam
seperti banjir, gempa bumi dan kemarau, akan ditemui orang-orang yang
memberi ulasan: “Tragedi ini berlaku kerana kilang arak di sana”, atau
“Semua ini berlaku kerana ajaran sesat penduduknya”. Seolah-olah yang
mengulas itu mempunyai hubungan terus (direct line) dengan
Allah dan seterusnya menjadi jurucakap Allah dalam menerangkan kenapa
sesuatu tragedi itu berlaku. Yang benar dia hanya mempunyai hubungan
terus dengan syaitan dan syaitan menipunya untuk “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”
Benar bahawa semua tragedi, atau lebih tepat: bala’ berlaku dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta’ala. Akan tetapi kita tidak tahu mengapa Allah menurunkan bala’ tersebut. Lebih dari itu tidak semua bala’ Allah turunkan kerana dosa yang pernah dilakukan oleh mangsanya. Ini kerana bala’ juga boleh jadi satu ujian Allah kepada para hamba yang dicintai-Nya. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ
فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ.
Sesungguhnya besarnya ganjaran berkadar terus dengan besarnya bala’.
Sesungguhnya jika Allah mencintai satu kaum,
Dia menurunkan bala’ kepada mereka.
Sesiapa yang redha maka Allah redha kepadanya
dan sesiapa yang marah maka Allah murka kepadanya.[9]
Seandainya kita hidup bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan bertanya kepada baginda mengapa sesuatu bala’
berlaku, nescaya baginda sendiri tidak berani berkata apa-apa melainkan
diam sehingga turun wahyu dari Allah untuk menerangkan sebabnya. Oleh
itu sikap yang benar dalam menghadapi sesuatu tragedi atau bala’ bukanlah mengulas mengapa ia berlaku tetapi mengulas apa yang telah kita lakukan untuk membantu mangsanya.
Contoh Kedua: Menyampaikan Hadis Tanpa Menyemak Sumber Dan Darjatnya.
Menjadi satu kebiasaan di Malaysia bahawa hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam disampaikan
tanpa memerhatikan sumber dan darjatnya. Apa saja yang dikenali sebagai
hadis, maka ia terus dianggap sebagai benar-benar berasal dari mulut
Rasulullah. Padahal apabila disemak hadis-hadis tersebut, nescaya
kebanyakan darinya tidak memiliki asal usulnya atau memiliki darjat yang
tidak menepati disiplin ilmu hadis sehingga tidak dapat disandarkan
kepada Rasulullah.
Sama-sama diketahui bahawa ucapan Rasulullah adalah wahyu yang berasal dari Allah. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Dan dia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan Islam)
menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.
Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis)
tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
[al-Najm 53:3-4]
Apabila sesuatu hadis disampaikan tanpa
menyemak sumber dan darjatnya, orang yang menyampaikannya telah
menjadikan hadis tersebut sebagai wahyu yang berasal dari Allah.
Seolah-olah dia mempunyai hubungan terus (direct line) dengan
Allah dan seterusnya menjadi jurucakap Allah dalam menerangkan hadis itu
dan ini. Yang benar dia hanya mempunyai hubungan terus dengan syaitan
dan syaitan menipunya untuk “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”
Benar bahawa jumhur ilmuan membolehkan hadis yang ringan kelemahannya disampaikan untuk tujuan keutamaan amal (Fadhail al-Amal) dan menganjurkan yang baik serta mengancam yang buruk (al-Targhib wa al-Tarhib).
Akan tetapi kebolehan ini hanya khusus untuk ahli hadis kerana hanya
mereka yang tahu kadar kelemahan sesuatu hadis. Para agamawan seperti
imam, khatib, ustaz dan ustazah bukanlah ahli hadis, oleh itu kebolehan
di atas tidak meliputi mereka.
Contoh Ketiga: Membicara Agama Tanpa Ilmu.
Berbincang tentang Islam memang baik
jika ia didasari kepada ilmu yang sahih. Sebaliknya berbincangan tentang
Islam menjadi tercela jika ia dilakukan tanpa ilmu atau dengan ilmu
yang menyeleweng. Mutakhir ini ramai orang yang suka berbincang tentang
Islam. Sama ada ceramah di masjid, kuliah di surau, berbalas pandangan
di internet atau sembang-sembang di kedai kopi, ramai yang suka
berbincang tentang Islam. Tak kira sama ada orang-orang yang berbincang
itu duduk dalam jurusan agama atau selainnya, pelbagai pemikiran, hukum
dan petua dikemukakan tanpa henti. Seolah-olah Islam adalah sebuah
cerpen agama, masing-masing boleh mengarang cerita khayalannya sendiri.
Lebih tepat, seolah-olah semua orang mempunyai hubungan terus (direct line)
dengan Allah dan seterusnya menjadi jurucakap Allah untuk menerangkan
sekian-sekian pemikiran, hukum dan petua berkenaan agama-Nya. Padahal
dia hanya mempunyai hubungan terus dengan syaitan dan syaitan menipunya
untuk “…berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.”
Jika hendak dibandingkan, 1400 tahun
yang lalu terdapat seorang manusia yang terkenal amanah lagi jujur. Dia
adalah seorang yang pendiam, tidak berkata-kata kecuali sesuatu yang
benar dan bermanfaat. Dia adalah manusia yang amat disayangi oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala
sehingga Allah melantiknya menjadi pesuruh-Nya bagi menyampai agama
yang terakhir kepada manusia. Orang yang saya maksudkan ialah Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi sekali pun baginda memiliki kedudukan yang amat mulia di sisi Allah, Allah tetap memberi amaran kepadanya:
Dan kalaulah (Muhammad) mengatakan atas nama Kami sebarang kata-kata rekaan,
sudah tentu Kami akan menyentapnya dengan kekuasaan Kami,
kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya!
[al-Haqqah 69:44-46]
Tipu Daya # 7: Memberi Nasihat.
Tipu daya syaitan yang ketujuh adalah
sesuatu yang tidak kita sangka-sangkakan. Memang, enam tipu daya yang
pertama juga tidak kita sangkakan. Akan tetapi yang ketujuh ini melebihi
enam yang pertama. Tipu daya syaitan yang ketujuh ialah, ia
berpura-pura memberi nasihat kepada kita. Ia berbisik atau bercakap
melalui lisan orang yang kita percayai sehingga kita yakin itu adalah
nasihat yang jujur dari hati ke hati. Akan tetapi di sebalik nasihat
tersebut, syaitan hanya ingin menyesat, mengkafir, memusyrik dan
menjadikan kita ahli neraka.
Tipu daya ini diakui sendiri oleh syaitan:
Dan ia (syaitan) bersumpah kepada keduanya (Adam dan Hawa):
“Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.”
[al-A’raaf 7:21]
Satu contoh bagaimana syaitan melaksanakan tipu daya ini ialah seperti berikut:
(Allah berfirman) “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga
serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai
dan janganlah kamu hampiri pokok ini,
(jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim.”
Setelah itu maka syaitan membisikkan (nasihat) kepada mereka berdua
supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka
yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata:
“Tidaklah Tuhan kamu berdua melarang kamu berdua
daripada (menghampiri) pohon ini melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua
menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal
(selama-lamanya di dalam syurga).”
Dan ia (syaitan) bersumpah kepada keduanya (Adam dan Hawa):
“Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.”
[al-A’raaf 7:19-21]
Dalam peristiwa di atas, syaitan memberi nasihat kepada Adam dan Hawa: “Tidaklah
Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini melainkan
(kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari
orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).”
Nasihat ini pada zahirnya kelihatan baik, tetapi ia sebenarnya bersikap
batu api dan provokatif. Dengan nasihat ini syaitan ingin menimbulkan
keraguan, buruk sangka dan permusuhan kepada Adam dan Hawa terhadap
Allah. Setelah memberi nasihat itu, syaitan bersumpah bahawa ia bukan
dari kalangan yang menghasut Adam dan Hawa dengan kemungkaran, tetapi: “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.”
Dalam rangka melaksanakan tipu daya
memberi nasihat, syaitan kadangkala membisikkan nasihatnya secara terus
kepada orang yang ingin diganggunya. Pada ketika yang lain ia
membisikkan nasihatnya kepada orang yang diyakini oleh orang yang ingin
diganggunya. Diingatkan semula bahawa syaitan adakalanya menggunakan
umat Islam sebagai agennya. Strategi ini pernah digunakan oleh syaitan
terhadap para Nabi, maka bukanlah merupakan satu keanehan jika ia
menggunakannya terhadap kita juga:
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh
dari syaitan-syaitan manusia dan jin,
setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain
kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.
[al-An’aam 6:112]
Berikut dikemukakan dua contoh bagaimana syaitan melaksanakan tipu daya # 7 ini dengan menggunakan agen-agen umat Islamnya:
Contoh Pertama: Masalah Rumah Tangga.
Kepada para pembaca sekalian, umpamakan
anda memiliki masalah rumah tangga. Bagi yang belum, berlakonlah
seolah-olah anda baru bernikah dan kini memiliki masalah rumah tangga.
Umpamakan masalah tersebut ialah pasangan anda akhir-akhir ini
menjauhkan diri dari anda. Pasangan anda tidak mengucapkan salam ketika
masuk rumah, tidak duduk semeja untuk makan malam dan tidak lagi
meluangkan masa bersenda gurau bersama anda.
Kemudian ceritakan masalah ini kepada
rakan pejabat, jiran, saudara atau sesiapa lain. Nescaya akan didapati
nasihat yang lebih kurang berbunyi:
- “Dia sekarang ada hubungan sulit dengan orang lain. Pergi selidik segera!”
- “Dia sekarang dah hilang citarasa
kepada anda. Tengoklah perut anda yang boroi tu! Malam nanti bila dia
tidur, tiupkan di ubun-ubunnya ayat 31 surah ‘Ali Imran: Qul inkuntum tuhibbuna…”
- “Cuba semak emel dan sms dia, mungkin ada hubungan dengan kekasih lamanya.”
- “Ada orang dengki dengan kalian berdua. Pasti dah kena sihir agaknya.”
- “Hmm! Confirm buatan orang. Aku kenal seorang bomoh ini yang boleh bantu engkau lawan balik!”
Nasihat-nasihat di atas atau apa-apa
lain yang senada berasal dari syaitan. Sekali pun ia terbit dari mulut
orang yang kita kenali, syaitan telah menjadikan orang tersebut agennya
dan membisikkan kepadanya nasihat yang berbentuk batu api dan
provokatif. Dengan nasihat sedemikian syaitan bermaksud untuk
membesarkan jurang masalah antara pasangan sehingga akhirnya mereka
bergaduh dan bercerai.
Ingat! Syaitan yang dapat menceraikan
pasangan suami isteri akan mendapat kedudukan yang istimewa dan pujian
dari iblis. Maka dia akan mencuba pelbagai tipu daya untuk mencapai
kejayaan tersebut. Dalam hadis yang telah dikemukakan dalam Bab Ketiga ketika mengupas ciri-ciri syaitan # 11, kita telah mempelajari sebuah hadis yang bermaksud: Kemudian
datang seorang tentera (syaitan) yang lain dan berkata: “Tidaklah saya
meninggalkan (orang yang saya ganggu) sehinggalah dia menceraikan isterinya.” Iblis menghampiri tentera itu dan berkata: “Anda hebat!”[10]
Ada pun rakan yang bukan agen syaitan, kita akan dapat mengenali mereka melalui nasihat yang membina lagi positif, umpama:
- Mungkin pasangan anda dimarahi ketua di
pejabat sehingga menyebabkan dia merasa rendah diri. Gembirakanlah dia
dengan puji-pujian bahawa dia adalah seorang ayah/ibu yang amat baik
lagi disayangi oleh anak-anak.
- Kalian sudah sekian lama tidak pergi bercuti. Take a few days off dan pergilah bercuti ke Langkawi. Pastikan anda yang belanja kos percutian.
- Saya rasa ada sesuatu di fikirannya
yang merungsingkan. Cubalah anda menghampirinya dan bertanya secara
lemah lembut. Jadilah pendengar yang setia, nescaya dia akan meluahkan
apa yang menjadikan dia rungsing.
- Bilakah kali terakhir kalian berdua pergi dating? Tinggalkan anak-anak di rumah bersama seorang penjaga dan pergilah makan malam di restoran kegemarannya. Hanya kalian berdua.
- Agaknya dia menjauhkan diri dari anda
kerana anda sendiri menjauhkan diri darinya? Mungkin anda sedang
rungsing memikirkan sesuatu atau ada masalah lain di bahu? Dekatilah
dia, nescaya dia akan mendekati anda. Kemudian berkongsilah cabaran yang
sedang di hadapi.
Ada pun rakan yang telah dijadikan
syaitan sebagai agennya, nasihatilah dia dengan baik. Sekali pun dia
telah memberi kepada anda nasihat yang buruk, janganlah pula dibalas
dengan nasihat yang buruk juga. Ingat:
Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman),
supaya mereka berkata dengan ucapan-ucapan amat baik;
sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka;
syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.
[al-Isra’ 17:53]
Jika anda tidak pandai untuk memberi nasihat, hadiahkanlah kepada dia buku ini.
Contoh Kedua: Perkhidmatan Menghalau Syaitan.
Sejak beberapa bulan yang lalu,
Zulkifli dan ahli keluarganya tidur lena setiap malam. Tidak ada yang
menjagakan mereka kecuali bunyi deringan jam penggera pada pukul 7.30
pagi. Sejak rumah mereka dipagar dalam majlis yang dipimpin oleh imam
masjid, Zulkifli tidak lagi mengalami gangguan makhluk ghaib di dalam
rumahnya. Sebagai tanda terima kasih, Zulkifli tidak pernah lupa untuk
mensedekah setandan pisang emas kepada masjid pada Jumaat pertama setiap
bulan.
Akan tetapi pada pagi Ahad ini Zulkifli
termenung lama. Sekejap tadi rakan lamanya datang melawat. Ketika
sedang duduk di sofa ruang tamu, dia kelihatan seperti melihat-lihat
sesuatu di siling rumah. Sama ada siling ruang tamu, ruang makan mahu
pun dapur, kelihatan seperti dia ada melihat sesuatu.
“Ada apa Rashid?” Zulkifli akhirnya memberanikan diri bertanya.
“Hmmm!”
“Ehh! Macam engkau nampak sesuatu je?”
tanya Zulkifli lagi.
Perasaan ingin tahu semakin melonjak, lebih-lebih
lagi disebabkan rakannya itu orang kuat agama. Beliau belajar agama di
Timur Tengah, dah naik haji enam kali, umrah entah berapa kali. Poket
seluarnya tidak pernah kosong dari biji tasbih. “Orang-orang agama ini
boleh nampak apa yang aku tak nampak!” hati Zulkifli mencelah.
“Ada apa Rashid?” ulang Zulkifli lagi. Kesabarannya mula menipis.
“Kamu ada merasai apa-apa gangguan atau perkara aneh di rumah? Rashid akhirnya membuka mulut.
“Err! Akhir-akhir ini takde. Tetapi
sebelum ini adalah. Aku dah panggil imam masjid untuk memagar rumah.
Hebat juga imam tu, sekarang dah OK.”
“Oh begitu! Err…aku cerita sikit boleh?”
“Haa! Cerita apa? Teruskan. My ears are all yours.”
“Bismillah, dengan izin
Allah, aku sebenarnya dapat melihat makhluk-makhluk ghaib. Aku dapat
melihat apa yang engkau dan orang ramai tidak dapat melihat. Allah telah
membuka hijab ini kepada aku” jelas Rashid dengan suara yang perlahan
lagi penuh rendah diri. Matanya kini hanya fokus ke lantai.
“OK, syabas! Teruskan…”
“Bukan apa, apabila saja aku masuk
pintu pagar rumah engkau, aku merasai kehadiran sesuatu. Apabila sudah
masuk, ternyata aku lihat ada syaitan yang tertawan di siling-siling
rumah engkau. Minta maaf…… maafkan aku, aku hanya mengkhabarkan sesuatu
yang benar.”
“Iyya ke? Tetapi aku dah pagar rumah ni beberapa bulan yang lalu.”
“Benar, itulah yang menyebabkan
makhluk-makhluk tu tertawan di siling”. Ulas Rashid sambil mendongak
sebentar ke siling, kemudian merendahkan kembali pandangannya ke lantai.
“Tawadhu’ sungguh sahabat aku ni. Dulu zaman sekolah tak pula
macam ni. Baguslah.” bisik hati Zulkifli. Rashid meneruskan dengan suara
yang rendah:
“Dulu apabila kamu memagar rumah ini,
ia berjaya menahan syaitan dari masuk ke dalam. Akan tetapi makhluk yang
sudah sedia ada di dalam, mereka tidak dapat keluar. Mereka tertawan di
siling.”
‘Iyya ke? Patutlah aku rasa macam ada
orang lain dalam rumah ni, tetapi aku buat-buat tak layan la. So …
sekarang macam nak halau yang tertawan di siling tu?”
Rashid menjeling ke jam tangan Radonya. “Hmmm, aku ada appointment
pukul 10 nanti di rumah hujung sana untuk halau syaitan. Aku tersampai
awal, sebab itu aku singgah rumah engkau dulu, nak tengok rakan lama.
Khidmat aku lazimnya setengah jam saja. Apa kata pukul 11 nanti aku
singgah semula dan halau yang tertawan di siling tu?”
“Fuyoo! Engkau ini macam orang profesional saja?”
“Allah mengurniakan kepada hamba-Nya
yang terpilih kedudukan masing-masing. Ada yang menjadi doktor, ada yang
menjadi jurutera. Aku Allah pilih untuk menghalau makhluk yang
mengganggu para hamba-Nya. Profesional tu tak lah, tetapi hari ini aku
ada lima appointment. Jadi bila aku datang pukul 11 nanti, tak perlu sediakan makanan. Aku kena cepat, pukul 2 petang ada appointment lain.”
“Orait! Gua tabik sama lu! Hmmm… engkau ada yuran ke?
“Terima kasih kerana bertanya. Biasanya tiga ratus ringgit. Tetapi kawan punya pasal, dua ratus cukuplah.”
“Orait set! Aku tunggu engkau pukul 11 ya!”
Dalam contoh di atas,
Rashid ialah agen syaitan. Bukan sebarangan agen, tetapi agen yang
profesional. Agen-agen seperti ini banyak yang dikader oleh syaitan.
Mereka menziarahi rumah, kedai, pejabat, kilang atau asrama, lalu
memberi nasihat kepada para penghuninya tentang kehadiran syaitan,
kemudian menawarkan khidmat menghalaunya. Apabila para penghuni menaruh
keyakinan kepada agen-agen tersebut untuk menghalau syaitan dengan
sekian jampi-jampian dan tangkal, tercapailah objektif syaitan untuk
menyesatkan para penghuni tersebut.
Terdapat beberapa cara untuk membuktikan bahawa yang menziarah itu ialah agen-agen syaitan:
-
Dia akan mendakwa
melihat atau mengetahui kehadiran syaitan di rumah anda. Ini adalah
pendustaan kerana syaitan adalah ghaib, ia tidak dapat dikesan oleh
deria manusia.
-
Dia akan menawarkan
khidmatnya untuk menghalau syaitan tersebut. Tawaran ini memusykilkan.
Mengapa minta izin? Teruslah menghalaunya. Tawaran ini tidak lain
seumpama orang yang nampak pencuri yang sedang berusaha memasuki rumah
jirannya. Dia tidak terus menghalau pencuri itu, sebaliknya menalifon
jirannya meminta izin: “Mat, aku nampak ada pencuri sedang cuba buka
pintu belakang rumah engkau. Engkau nak ke khidmat aku untuk
menghalaunya?”. Di sini mungkin ada yang berpendapat, permintaan izin
dilakukan terlebih dahulu kerana mungkin syaitan yang dimaksudkan adalah
peliharaan tuan rumah. Pendapat ini dijawab: Bolehkah anda membeza
antara pencuri yang sedang cuba membuka pintu dan anak jiran yang sedang
cuba membuka pintu? Tentu boleh. Maka demikianlah juga, jika orang itu
benar-benar dapat melihat syaitan, dia akan dapat membezakan sama ada
itu adalah peliharaan atau tetamu yang tidak dijemput.
-
Jika seseorang itu
benar-benar dapat menghalau syaitan, maka syaitan akan lari sebelum dia
menghalau mereka. Ini kerana syaitan amat takut kepada orang yang ikhlas
dalam beragama, kuat imannya, teguh ketaqwaannya, menjadikan al-Qur’an
sebagai panduan hidup dan al-Sunnah sebagai jalannya. Hanya orang
seperti ini yang mampu menghalau syaitan. Akan tetapi dia tidak perlu
menghalaunya kerana syaitan itu sendiri akan menjauhkan diri darinya.
Maka jika orang seperti ini masuk ke dalam sebuah rumah yang dihuni
syaitan, syaitan-syaitan itu akan serta merta lari bertempiaran.
-
Dia akan menampilkan
sifat-sifat rendah diri dan beragama. Sifat-sifat ini adalah solekan
semata-mata untuk meraih keyakinan penghuni rumah. Yang menjadi ukuran
ialah tindak tanduknya sama ada menepati al-Qur’an dan al-Sunnah atau
tidak. Ada pun sifat mahu pun perkataannya, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengingatkan kita:
Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal
kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan
dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa
yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras
permusuhannya (kepadamu). [al-Baqarah 2:204]
-
Seandainya benar rumah
tersebut dihuni syaitan, orang yang mengetahuinya akan mengajar para
penghuni rumah cara-cara menghalaunya. Ini kerana cara-cara untuk
menghalau syaitan hendaklah dilaksanakan sendiri oleh orang yang
menghuni rumah tersebut. Jika dilaksanakan oleh orang lain yang hanya
menziarah sekadar setengah jam, syaitan akan kembali sebaik saja orang
itu balik. Ingat! Syaitan tidak jahil tetapi manusialah yang jahil.
Apa dan bagaimana cara-cara menghalau syaitan tersebut? Ikutilah bab seterusnya insya-Allah. Sebelum
itu ingin ditarik perhatian para pembaca sekalian bahawa cara syaitan
melaksanakan tipu daya-tipu dayanya bukanlah secara serta-merta, akan
tetapi secara bertahap-tahap. Jika syaitan melakukannya dengan
serta-merta, ia tahu umat Islam akan mudah menangkap tipu daya tersebut.
Dalam ayat 64 surah al-Isra’, Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman berkenaan syaitan:
Dan bertahap-tahaplah dalam memujuk sesiapa yang engkau dapat dengan suaramu
dan kerahlah penyokong-penyokongmu… [al-Isra’ 17:64]
Wallahu'alam..
[1] Yang saya maksudkan dengan kitab-kitab klasik (turats)
yang dikarang pada zaman awal Islam hingga ke zaman pertengahan.
Kitab-kitab ini dikarang dengan nilai sastera yang tinggi dan dengan
gaya bahasa serta istilah yang perlu difahami mengikut kriteria
pengarang itu sendiri. Ia berbeza dengan kitab-kitab yang dikarang pada
zaman mutakhir dimana bahasanya adalah mudah dan lancar.
[2] Lebih lanjut rujuk dua risalah saya yang berjudul Adab-Adab Menuntut Ilmu Agama dan Unsur-Unsur Yang Merosakkan Ilmu Agama yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 5) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[3]
Sengaja saya menggunakan ayat “Yang kita tujukan zikir” kerana
kelihatannya banyak orang yang berzikir menujukan zikirnya kepada
sesuatu selain Allah. Atas tujuan selain Allah inilah kita dapati pada
masa kini ada orang berzikir dengan susunan kalimah dan jumlah bilangan
yang tersendiri atau berdasarkan tunjuk ajar guru tersendiri. Bahkan ada
yang menggunakan zikir sebagai tangga bagi mencapai kedudukan (maqam) yang lebih tinggi.
Berzikir ialah ibadah
untuk mengingati Allah. Sebagai satu bentuk ibadah, hendaklah kita
mengingati Allah sebagaimana Allah menghendaki diri-Nya diingati. Allah
bukanlah rakan sebilik asrama, teman sekerja, pasangan hidup atau ahli
keluarga yang dengan itu kita boleh mengingati-Nya dengan cara yang
direka-reka sendiri. Sebaliknya Allah ialah Tuhan yang tidak mampu untuk
kita ukur dan ketahui cara untuk mengingatinya. Atas dasar inilah Allah
telah mengajar kalimah-kalimah zikir dan jumlah bilangannya melalui
lisan Rasul-Nya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.
[4] Lebih lanjut tentang hukum menggunakan tangkal dan jampi-jampian, rujuk buku saya 11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid, terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[5] Kenapa ia disebut Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dan mengapa ia tidak dianggap sebagai salah satu dari jalan syaitan? Jawapannya boleh ditemui dalam buku saya yang berjudul Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2018 (Kitab al-Asyrabah, Bab adab makan dan minum…).
[7] Dalam bab ini terdapat sebuah hadis yang mengajar doa sebelum makan:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِاسْمِ اللَّهِ.
“Ya Allah, berkatilah bagi kami apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan peliharalah kami dari azab neraka.Bismillah.”
Hadis ini dikeluarkan oleh al-Thabarani dan Ibn al-Sunni, sanadnya memiliki kecacatan yang parah dan ia dinilai dha‘if jiddan oleh Syaikh ‘Amr bin ‘Ali Yasin dalam semakannya ke atas Kitab al-Adzkar li al-Nawawi (Dar Ibn Khuzaimah, Riyadh, 2001), hadis no: 674 (Zikir-zikir ketika makan dan minum).
[8]
Lebih lanjut tentang maksud bid‘ah, kriteria membezakan antara sunnah
dan bid‘ah serta bahaya-bahaya bid‘ah kepada Islam dan umatnya, sila
rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[9] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2396 (Kitab al-Zuhud, Bab berkenaan sabar terhadap bala’).
[10] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2813-2 (Kitab Sifat al-Qiyamah wa al-Jannah…, Bab gangguan syaitan dan pengutusan tenteranya…).