Sekiranya
Allah s.w.t telah menentukan seseorang hamba-Nya itu sampai kepada-Nya,
sudah pasti si hamba itu akan sampai kepada-Nya. Hamba tadi akan dibawa
menghadap Allah s.w.t melalui dua cara.
Pertama
adalah secara lemah-lembut. Diberi-Nya nikmat, dibukakan jalan untuk
taat dan dipermudahkan perjalanannya hingga dia sampai kepada Allah
s.w.t. Orang begini sesuai untuk menerima pujukan. Ada pula orang yang
tidak endah bila dipujuk.
Cara kedua sesuai untuknya. Cara kedua adalah cara paksaan. Allah s.w.t memutuskan apa sahaja yang mengikat hamba-Nya tadi. Si hamba itu telah menjadi enggan berjalan menuju kepada Allah s.w.t kerana dia diikat oleh berbagai-bagai perkara seperti harta, kekuasaan, perniagaan dan sebagainya. Selagi perkara-perkara itu mengikatnya selagi itulah dia tidak dapat berjalan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang mengasihani hamba tadi, memutuskan semua ikatan tersebut dengan cara mendatangkan ujian bala kepadanya.
Ujian
bala memisahkan si hamba dari apa jua yang menjadi penghalang antaranya
dengan Allah s.w.t. Kemudian ujian bala membentuk hati agar dia
berputus asa dari apa yang telah terpisah daripadanya. Bila dia tidak
berhajat lagi kepada makhluk, baharulah dia dibawa menghadap Allah
s.w.t. Dia sudah boleh berjalan menuju Allah s.w.t kerana beban berat di
atas bahunya sudah terbuang. Kakinya berasa ringan untuk melangkah,
fikirannya tenang dan jiwanya tenteram. Hatinya dapat bermunajat kepada
Allah s.w.t dengan khusyuk kerana tidak ada lagi gangguan duniawi dan
mata benda. Begitulah dua jalan yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk
membawa hamba-hamba-Nya kepada-Nya. Allah s.w.t berfirman:
Dan
kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi
tunduk menurut, samada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan
(demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. ( Ayat
15 : Surah ar-Ra’d )
Walau jalan mana pun yang ditempuh oleh seseorang hamba itu, Allah s.w.t menantinya dengan keampunan, rahmat dan kasih sayang-Nya. Si hamba dibawa hampir dengan-Nya dan dikurniakan berbagai-bagai nikmat yang menggembirakan sehingga mereka tidak berasa rugi lantaran berpisah daripada kesenangan duniawi.
Ujian
menjadi batu pengasah untuk menggilap iman seseorang. Ada orang diuji
dengan rezeki, ditaburkan rezeki kepadanya atau disempitkan. Keluasan
rezeki membentuk kesyukuran dan kesempitan membentuk kesabaran. Jiwa
yang dicanai oleh kesyukuran dan kesabaran akan menimbulkan rasa
penyerahan dan pergantungan yang kuat kepada Allah s.w.t. Keluasan
rezeki membuatnya mengenali Allah s.w.t Yang Maha Baik, Maha Pemurah.
Kesempitan rezeki membuatnya mengenali Allah s.w.t Yang Maha Keras, Maha
Perkasa. Pada kedua-duanya dia mengenali Allah s.w.t yang menghalau
takdir demi takdir dengan penuh hikmat kebijaksanaan.
(Mengapa
mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan
hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang
dikehendaki-Nya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau
sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian samada
diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu
mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah)
bagi orang-orang yang beriman. ( Ayat 37 : Surah ar-Ruum )
Orang
yang beriman dengan Allah s.w.t dan takdir-Nya akan mendapat
pimpinan-Nya. Allah s.w.t berkuasa membalikkan hati-hati. Dipimpin-Nya
hati orang yang beriman agar menghadap kepada-Nya. Orang yang
dipimpin-Nya akan berasa mudah untuk mengabdikan diri kepada-Nya.
Kehalusan pimpinan-Nya itu membuat hamba mengenali kekuasaan-Nya pada
membalikkan hati yang keras menjadi lembut dan yang malas beribadat
menjadi rajin.
Tidak
ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan
dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan
memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan
tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu. ( Ayat 11 : Surah at-Taghaabun )
Orang-orang
yang beriman akan sentiasa diuji kerana ujian itu membawa
berbagai-bagai ganjaran, nikmat dan kurniaan dari Allah s.w.t. Kekuatan
amal ibadat tidak berdaya mengangkat darjat seseorang hamba, lalu Allah
s.w.t hantarkan ujian dan melalui ujian itulah hamba-Nya dipersucikan
dan diangkat darjatnya. Dalam melakukan yang demikian, Allah s.w.t
kenakan ujian kepada hamba-Nya melalui perkara-perkara yang hampir
dengan hamba itu, seperti harta dan keluarga.
Sesungguhnya
harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian; dan di
sisi Allah jualah pahala yang besar. ( Ayat 15 : Surah at-Taghaabun )
Ujian menjadi pengasing, mengasingkan hati yang beriman dengan hati yang kufur. Dalam medan ujian itu ramai manusia disesatkan oleh iblis kerana hati mereka diselimuti oleh keraguan. Orang yang beriman dapat bertahan menghadapi gelombang ujian itu, malah ujian menambahkan kekuatan iman. Keupayaan mengekalkan iman di dalam mengharungi lautan ujian membuat hamba menginsafi bahawa sebenarnya Allah jua yang memelihara imannya itu, bukan kekuatan dirinya.
Dan
sesungguhnya iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka,
iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang
beriman (yang tidak terpedaya dengan hasutannya). Dan sememangnya
tiadalah bagi iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, melainkan
untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah
yang benar-benar beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang
ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta
mengawasi tiap-tiap suatu. ( Ayat 20 & 21 : Surah Saba’ )
Hamba yang dipelihara oleh Allah s.w.t itulah yang akan menemui kejayaan di dunia dan di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan