Kepentingan Menggembirakan Ibubapa.
‘Abd Allah ibn ‘Amr radhiallahu 'anh menerangkan
bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam dan berkata:
“Sesungguhnya aku datang
untuk memberi janji taat setia (bai‘ah) kepada engkau
untuk berhijrah, akan tetapi aku meninggalkan kedua orang
tuaku dalam keadaan menangis.” Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam berkata kepadanya:
“Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka
berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu
jadikan mereka menangis.”[1]
Berhijrah adalah salah satu tuntutan Islam yang amat penting.
Malah Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi amaran
keras kepada sesiapa yang enggan berhijrah tanpa alasan yang
munasabah. Firman Allah:
Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat
semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan
berhijrah), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata:
“Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?”
Mereka
menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di
bumi.”
Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas,
yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka
orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir
mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah
seburuk-buruk tempat kembali.
Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki
dan perempuan serta kanak-kanak,
yang tidak berdaya upaya
mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula
mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka
(yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka.
Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[al-Nisa’ 4:97-99]
Termasuk orang yang dimaafkan kerana tidak berhijrah adalah
sebagaimana hadis di atas, dimana jika berhijrah akan
menyedihkan ibubapanya, maka yang lebih utama adalah dia
tidak berhijrah dan kembali menggembirakan mereka.
Dalam hadis ini terkandung petunjuk bahawa menggembirakan
ibubapa adalah salah satu daripada tuntutan agama. Oleh itu
janganlah kita melakukan sesuatu tindakan yang menjauhkan
ibubapa daripada kegembiraan, apatah lagi jika ia
menyedihkan mereka. Tidak ada cara yang terhad untuk
menggembirakan ibubapa, asalkan ia tidak melibatkan sesuatu
yang dilarang oleh syari‘at. Kerap kali menghubungi mereka,
sering kali menziarahi mereka, membawa mereka bercuti,
membelikan mereka hadiah adalah beberapa contoh cara kita
boleh menggembirakan ibubapa. Meninggalkan mereka kesunyian,
tidak menjengok mereka, tidak prihatin akan hal ehwal mereka,
bercakap dengan nada yang keras, memarahi mereka adalah
beberapa contoh tindakan kita yang menyedihkan mereka.
Timbul persoalan, bolehkah menggembirakan ibubapa dengan
meraikan Mother’s Day dan Father’s Day?
Sebahagian tokoh melarang sambutan Mother’s Day dan
Father’s Day. Hujah mereka adalah:
-
Hari perayaan dalam Islam hanya dua, iaitu ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha. Apa-apa perayaan yang lain adalah bid’ah yang dilarang oleh agama.
-
Seandainya Mother’s Day dan Father’s Day adalah baik, sudah tentu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan menganjurkannya kepada para sahabat radhiallahu 'anhum pada zaman baginda.
-
Mother’s Day dan Father’s Day adalah perayaan orang bukan Islam dan kita umat Islam dilarang daripada mengikuti mereka.
-
Berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu dalam setahun.
Sekalipun tokoh-tokoh yang melarang adalah mereka yang
dihormati, itu tidaklah bermakna hujah-hujah mereka tidak
boleh dibuka untuk analisa. Dalam menganalisa hujah-hujah
mereka berkenaan sambutan Mother’s Day dan
Father’s Day, saya dapati ianya adalah lemah. Sebabnya:
1.
Perayaan bid‘ah yang dilarang adalah perayaan yang
bersangkutan dengan agama. Aidul Fitri dan Aidul Adha adalah
hari perayaan keagamaan, kerana itulah pada hari tersebut
kita dituntut untuk bertakbir dan melaksanakan solat sunat.
Adapun hari Mother’s Day dan Father’s Day,
maka ia adalah perayaan yang bersangkutan dengan adat
manusia, sepertimana perayaan Hari Guru, Hari Warga Tua dan
sebagainya. Tidaklah termasuk dalam perbincangan bid‘ah atau
sunnah apa yang bersangkutan dengan adat manusia.
Perlu diingatkan bahawa dalam berinteraksi dengan persoalan
bid‘ah, manusia terbahagi kepada tiga kumpulan:
-
Pertama adalah mereka yang amat ketat penilaiannya, sehingga hampir semua perkara yang baru dilabel sebagai bid‘ah yang dilarang oleh Islam. Padahal sebahagian besar daripada perkara tersebut adalah sesuatu yang harus hukumnya.
-
Kedua adalah mereka yang bermudah-mudahan penilaiannya, sehingga hampir semua perkara yang baru dilabel sebagai bid‘ah hasanah. Padahal di antara perkara tersebut ada yang benar-benar merupakan bid‘ah yang dilarang oleh Islam.
-
Ketiga adalah mereka yang berada di pertengahan, tidak berlebih-lebihan dan tidak pula bermudah-mudahan. Setiap perkara yang baru tidak akan dilabel sebagai bid‘ah mahupun sunnah melainkan terlebih dahulu dianalisa secara mendalam.
2.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak
menganjurkan Mother’s Day dan Father’s Day
pada zaman baginda kerana suasana yang memerlukannya tidak
wujud. Di kalangan sahabat, ada yang ibubapa mereka memusuhi
Islam. Maka sememangnya tidak perlu berbuat baik kepada
mereka. Bagi sebahagian sahabat yang lain, mereka tinggal
bersama atau berhampiran ibubapa sehingga tidak memerlukan
hari yang istimewa untuk berbuat baik kepada ibubapa.
Berbeza dengan masa kini, kebanyakan kita (anak-anak) berada
jauh daripada ibubapa, sama ada kerana pembelajaran atau
kerjaya. Suasana ini menyebabkan kita perlu mencari ruang
untuk berbuat baik kepada ibubapa semampu boleh sambil
meneruskan kehidupan sendiri. Meraikan ibubapa pada
Mother’s Day dan Father’s Day adalah salah satu
daripada ruang tersebut.
3.
Tidaklah semua yang berasal daripada kaum bukan Islam adalah
dilarang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
sendiri pernah meminta para tawanan Perang Badar untuk
mengajar umat Islam membaca dan menulis. Baginda juga pernah
beberapa kali menggunakan strategi peperangan bangsa lain
dalam ekspedisi jihadnya.
Justeru larangan mengikuti kaum bukan Islam sebenarnya
ditujukan kepada sesuatu yang merupakan ciri-ciri keagamaan
mereka yang masih dipraktikkan. Merujuk kepada hari perayaan,
kita umat Islam dilarang untuk turut serta merayakan atau
meniru hari keagamaan mereka, seperti Hari Easter, Hari
Thaipusam, Hari Wesak dan sebagainya. Mother’s Day
dan Father’s Day bukanlah hari keagamaan kaum bukan
Islam.
4.
Hujah “Berbuat baik kepada ibu dan ayah adalah tuntutan
sepanjang tahun dan bukannya pada satu dua hari tertentu
dalam setahun” adalah bukti bahawa yang berhujah tidak
berpijak di atas bumi yang nyata. Bahkan ia boleh digunakan
untuk bertanya kembali kepada mereka: “Jika begitu kenapakah
anda saat ini tidak berada dan sentiasa berada di sisi
ibubapa anda?”
Berbuat baik kepada ibubapa tidaklah bererti duduk di
sebelah mereka sepanjang masa. Akan tetapi ia adalah
mengimbangi dengan adil antara berbuat baik kepada mereka
dan meneruskan kehidupan sendiri. Salah satu daripada
perimbangan tersebut ialah meraikan ibubapa pada hari
Mother’s Day dan Father’s Day. Sudah tentu adalah
lebih baik jika anak-anak dapat mewujudkan ruang yang lebih
kerap untuk berbuat baik kepada ibubapa mereka. Ini akan
saya jelaskan seterusnya dalam buku ini, insya-Allah.
Oleh itu meraikan Mother’s Day dan Father’s Day
adalah harus, terbuka kepada kedudukan setiap anak-anak.
Sesiapa yang mendapati ianya dapat menggembirakan ibubapa
mereka, maka teruskanlah. Namun sesiapa yang dapat
mewujudkan ruang lain untuk menggembirakan ibubapa mereka
tanpa terhad kepada Mother’s Day dan Father’s Day,
sudah tentu ia adalah lebih baik. Penjelasan yang sama juga
ditujukan kepada beberapa hari-hari yang lain seperti
sambutan Hari Jadi.
[1]
Sahih:
Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai sahih oleh al-Albani
dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 4163
(Kitab al-Bai‘ah, Bab berbai‘ah untuk hijrah).
http://www.youtube.com/all_comments?v=27AfS4YKxys
BalasPadam